Dewan Pemuda PAS Pusat
(DPP Pusat) sangat terkejut dengan berita
terbaru tentang kejadian rogol seorang
perserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
oleh seorang jurulatih PLKN di Kem Merang,
Terengganu baru-baru ini.
Kejadian rogol yang berlaku di kem PLKN ini
membuktikan dakwaan DPP Pusat sebelum ini
bahawa program ini akan menjadi pusat
pertumbuhan maksiat hampir menjadi kenyataan.
DPP Pusat melihat
punca utama kejadian-kejadian seperti ini
adalah bertolak daripada kelemahan dasar
PLKN yang tidak begitu mengambil berat soal
pembinaan kerohanian peserta, sebaliknya
lebih cenderung menjadi pusat indoktrinasi
politik BN.
Ini bukan pertama
kali kes-kes jenayah dilaporkan berlaku
dalam PLKN walaupun program ini hanya baru
bermula tidak sampai dua bulan.
Sebelum ini DPP
Pusat telah mendedahkan kejadian pergaduahan
di Kem Port Dickson, diikuti oleh pergaduhan
di beberapa kem di Terengganu, Kelantan,
Perak dan sebagainya.
Selain
insiden-insiden pergaduhan, DPP Pusat turut
menerima aduan tentang kes-kes yang
melibatkan gejala seksual di PLKN seperti
tayangan video lucah di kem Perlis,
tangkapan khalwat di kem Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) dan terbaru kes rogol di
Kem Merang.
Insiden-insiden ini
jelas memberikan gambaran betapa buruknya
keadaan di kem-kem PLKN.
DPP Pusat sebelum
ini berkali-kali mengingatkan pihak Kerajaan
BN supaya memastikan PLKN tidak menjadi
pusat kegiatan maksiat seperti percampuran
bebas lelaki perempuan, penyebaran budaya
hedonisme dan budaya artis, kerana perkara
boleh menjadi anasir kepada keruntuhan
akhlak remaja.
Tetapi Kerajaan BN
tidak mahu mengambil iktibar daripada
kegagalan program Rakan Muda.
Akibatnya
gejala-gejala yang sangat memalukan ini
telah berkembang dalam satu program yang
kononnya bertujuan untuk membina syakhsiyah
dan patriotisme remaja.
Jika beginilah
keadaannya, tidak pelik sekiranya sebahagian
ibu bapa memulaukan program ini dengan
menghalang anak-anak mereka menyertai PLKN.
Kerajaan BN sebenarnya tidak boleh memaksa
para remaja menyertai PLKN jika tahap
keselamatan peserta berada di bawah paras
bahaya.
DPP Pusat sangat
kesal dengan kegagalan Kerajaan BN
menguruskan PLKN dengan baik dan berkesan.
Insiden-insiden ini
menjadi bukti kegagalan Kerajaan BN dalam
membina jati diri remaja yang cemerlang.
DPP Pusat mendesak
Pengerusi PLKN, Datuk Dr Fawzi Basri supaya
meletakkan jawatan di atas kegagalan beliau
menguruskan PLKN dengan berkesan.
DPP Pusat juga
menuntut supaya PLKN memberikan tumpuan yang
lebih besar kepada membina syakhsiyah
peserta melalui program kerohanian dan
keagamaan.
Kejadian rogol yang
terbaru ini sudah cukup untuk PLKN menyedari
kelemahan ketara yang sedang berlaku dalam
kurikulum PLKN dan ia perlu digubal semula.
Oleh itu, DPP Pusat
mendesak supaya PLKN dibubarkan untuk
sementara waktu bagi membolehkan satu
siasatan menyeluruh dibuat dan satu
penstrukturan semula dilakukan dari semua
aspek.
SALAHUDDIN HAJI
AYUB
Ketua Dewan
Pemuda PAS Pusat