|
PUAS penyamun, SYABAS 'perompak kebulur'
Mulai 16 Mei ini seluruh warga Selangor akan menerima
hadiah istimewa daripada kerajaan pimpinan Dr Khir Toyo sebagai `imbuhan`
kerana memenangkan Umno BN pada p/raya umum lalu begitu cemerlang sekali.
Jika sebelum ini dibawah pemerasan PUAS ( Perbadanan
Urusetia Air Selangor) rakyat marhaen sudah cukup parah kerana dipaksa
membayar bil air dua kali ganda berbanding yang pernah dikenakan oleh
Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) di era pra-penswastaan dulu.
Kini PUAS telah pun dijual kepada SYABAS (Syarikat
Bekalan Air Selangor) sebagai memenuhi janji kerajaan Selangor dan lain-lain
negeri di bawah kekuasaan Umno BN untuk menyerahkan urusan pembekalan air
kepada kerajaan pusat. Perjanjian tersebut telah dibuat pada awal tahun
lepas.
Dato Seri Samy Vellu pernah bertelagah dengan Khir
Toyo pada peringkat awal perjanjian tersebut. Samy Vellu pada mulanya
menuduh kerajaan Selangor enggan menyerahkan urusan berkenaan kepada
kerajaan pusat. Akibat daripada `mulut besarnya` itu Samy Vellu terpaksa
mengadap DYM Sultan Selangor untuk menjelaskan perkara sebenar.
Sesetengah pihak menganggap keenganan Khir Toyo
untuk menyerahkan urusan bekalan air itu bukanlah disebabkan prinsip
sebaliknya lebih berfokus kepada terma-terma tertentu yang dikatakan tidak
menguntungkan Khir dan kroni-kroninya yang menguasai PUAS.
SYABAS umpama `perompak kebulur ` terus menaikkan
harga (tarif) air 45 peratus sebaik-baik sahaja mengambil alih PUAS. Akibat
kenaikkan mendadak dan menindas itu para pengguna (rakyat marhaen ) terpaksa
menanggung beban baru sedangkan beban lama bikinan PUAS masih menghantui
mereka.
Cuba perhatikan bil air yang terpaksa dibayar oleh
pengguna (empat orang sekeluarga) secara purata sebagai contoh:
Pembekal Bil sebulan (purata)
JBAS ( Kerajaan Negeri Pra-Penswastaan) RM 15.00
PUAS( Penswastaan Kerajaan Negeri) RM 30.00
SYABAS (Penswastaan Kerajaan Pusat) RM 43.50
Khir Toyo hanya membisu seribu bahasa apabila
berdepan dengan tindakan drastik SYABAS itu. Khabarnya Menteri Besar yang
dikaitkan dengan senarai `Top 20` perasuah mega itu tidak dapat berbuat
apa-apa kerana segalanya telah diserahkan kepada kerajaan pusat.
Penggantian paip dan pengambilan air dari Pahang
Bagi mewajarkan kenaikan mendadak itu SYABAS telah
memberikan alasan bahawa:
- Pihaknya terpaksa berbelanja lebih untuk
mengambil air dari Pahang sebagai memenuhi keperluan pengguna di Selangor.
- Sistem perpaipan lama di seluruh Selangor perlu
diperbaharui untuk memastikan keberkesanan bekalan air dan mengelak
pembaziran.
Sebelum alasan-alasan diatas boleh diterima bagi
mengelakkan SYABAS dari dituduh oleh rakyat marhaen sebagai `perompak
kebulur,' mereka (kroni-kroni Umno BN yang menguasai SYABAS) harus menjawab
pertanyaan berikut:
a. Apakah sumber bekalan air di Selangor sudah tidak lagi mencukupi untuk
menampung keperluan penduduknya sehingga terpaksa membeli air dari negeri
lain ?
b. Jika sistem perpaipan lama perlu diganti untuk keberkesanan bekalan dan
mengelakkan pembaziran,bukankah sebahgian besar dari program itu sudah pun
dibuat oleh PUAS.Salah satu contohnya:
Kerajaan Selangor telah meluluskan kontrak untuk
membekal paip berukuran 1.400m dia. kepada JAKS Sdn Bhd pada tahun 2001 bagi
keperluan PUAS untuk menukar sistem perpaipan yang melibatkan saiz tersebut
di seluruh negeri Selangor.
JAKS adalah syarikat milik kroni rapat Khir Toyo telah diberi konsesi selama
30 tahun bagi tujuan berkenaan.Didalam tempuh tersebut JAKS dikatakan akan
mengaut untung atas angin sebanyak RM 1.5 Billion. Kes ini telah pun
dilaporkan oleh Sdr Ahmad Lutfi Othman kepada BPR sebagai salah satu kes
yang disyakki melibatkan rasuah mega amalan Khir Toyo lebih dua tahun lalu.
Apakah paip yang dibekalkan oleh JAKS itu tidak termasuk dalam sistem
perpaipan yang akan diperbaharui oleh SYABAS ? Hal sedemikian tidak mungkin
berlaku melainkan SYABAS tidak pernah berurusan dengan PUAS.
Air berkeladak dan bercacing halus ( cacing babi ? )
Kebocoran paip utama bekalan air di Selangor merupakan perkara lumrah yang
boleh di lihat tanpa mengira waktu dan lokasi. Sejak era JBAS ( Jabatan
Bekalan Air Selangor ) sehinggalah jabatan itu di swastakan masalah itu
tidak pernah beres. Malah apabila PUAS mengambil alih tugas JBAS situasi
tidak juga beransur baik.
Bukan masalah paip bocor sahaja yang menghantui PUAS,malah ketidak cekapan
perkhidmatannya sentiasa menjadi bahan cercaan rakyat selaku pengguna.
Banyak kawasan di lembah Kelang yang tidak mendapat bekalan air secara
sempurna. Daerah Hulu Langat merupakan kawasan yang paling teruk terjejas
akibat kelembapan PUAS.
PUAS nampaknya tidak begitu bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan
prestasi perkhidmatan mereka. Apa yang mereka utamakan hanyalah mengaut
seberapa banyak keuntungan.
Mereka tidak pernah berkompromi kepada perkara yang melibatkan bayaran bil.
Lambat bayar bekalan akan dipotong dan untuk menyambungnya semula charge RM
50 dikenakan. Bayaran ansuran untuk bil tertunggak langsung tidak dibenarkan.
“Bayar semua atau bekalan air ke premis anda akan dipotong!”
Namun disebalik `ketegasan` tersebut apa yang mereka buat untuk mengatasi
bekalan air yang sentiasa berkeladak sehingga para pengguna terpaksa
menggunakan `penapis` untuk mendapatkan air jernih. Penapis ( filter) bukan
percuma sebaliknya terpaksa dibeli dengan harga yang mebebankan juga.
Jurucakap PUAS dan kerajaan Khir Toyo tidak puas-puas mencanangkan kepada
rakyat bahawa air yang mereka bekalkan selamat untuk digunakan. Betulkah
begitu ? Jika betul tolong jelaskan gerangan cacing halus apakah yang
terperangkap pada jaringan penapis (filter) yang diletakkan bersebelahan
dengan meter (jangka) air para pengguna ?
Dari mana datangnya cacing-cacing halus tersebut walhal sebelum ini ia tidak
pernah wujud. Apakah kebimbangan sesetengah pihak bahawa air Sungai Selangor
yang membekalkan 60 peratus keperluan untuk penduduk Selangor dan L:embah
Kelang telah mula dicemari dengan sisa sembelihan babi.
Seperti yang sudah dimaklumi Syarikat Tip Top Meat Sdn Bhd. Telagh telah pun
diberi keizinan oleh kerajaan Khir Toyo untuk membina Pusat Penyembelihan
Babi terbesar di Asia Tenggara berlokasi di sempadan Rawang-Batang Berjuntai.
Kawasan penyembelihan itu terletak hanya ¼ batu dari Sungai Selangor yang
menjadi punca kepada bekalan air tadi.
Ketika pembinaan Pusat Penyembelihan tersebut banyak pihak yang membantah
kesesuaian lokasi berkenaan. Jabatan Alam Sekitar Selangor pun dikatakan
kurang senang dengan langkah pengusaha yang membina premis tersebut tanpa
menepati spesifikasi JAS. Namun semuanya tidak diendahkan oleh pengusaha
yang mendapat sokongan kuat dari Khir Toyo ketika itu.
Bayangkanlah Pusat Penyembelihan itu mampu memotong 3500 ekor babi
sehari.Apa jaminan sisa daripada sembelihan sebanyak itu tidak akan mencemar
sungai jika tidak diurus dengan penuh ketelitian. Operasi penyembelihan
sudahpun bermula lebih enam bulan .
Kalaulah cacing-caing halus tadi terhasil daripada sisa sembelihan babi yang
tidak diurus dengan sempurna sehingga mencemar sungai yang membekalkan air
bersih,siapa yang harus bertanggung jawab ?
Isu ini amat sensitif bukan sahaja kepada orang Melayu Islam bahkan kepada
semua lapisan rakyat kerana ia bukan sahaja melibatkan tuntutan agama bahkan
kehormatan manusia seluruhnya.Mana ada manusia yang waras sanggup
menggunakan air yang telah dibabikan untu keperluan asasi mereka ?
Akhirnya apakah jaminan SYABAS bahawa mereka akan menawarkan perkhidmatan
yang lebih baik daripada PUAS ? Selagi sikap tamak yang disalurkan menerusi
syarikat-syarikat milik kroni sang penguasa masih lagi bermaharaja gila
membaham keuntungan tanpa tertanam sedikitpun unsur-unsur mengutamakan
kebajikan rakyat selama itulah segala-galanya akan bercelaru.
BA Selangor tertipu ?
Sebenarnya semua itu adalah pernyataan daripada amalan rasuah dan
penyelewengan golongan yang berkuasa. Sayang sekali ! BA Selangor gagal
mengetengahkan isu tersebut disepanjang kempen p/raya kesebelas yang baru
berlalu.
Khabarnya dua tiga hari sebelum hari penamaan calon Pengerusi Pilihanraya
Negeri Selangor Encik Abdullah telah memberitahu beberapa orang pembesar BA
Selangor bahawa Badan Pencegah Rasuah ( BPR ) sudah memaklumkan kepada
Setiausaha Kerajaan Selangor bahawa Khir Toyo `bersih` daripada sebarang kes
rasuah.
Abdullah mengingatkan agar `isu rasuah Khir Toyo` jangan dijadikan bahan
kempen kerana dikhuatiri melanggar akta p/raya .Ramai calon-calon BA yang
tertipu dengan `ingatan ikhlas` Abdullah itu .
Akhirnya isu rasuah Khir Toyo tidak berapa kedengaran lagi disepanjang
tempuh kempen p/raya dan hakikatnya kebanyakan pembesar-pembesar BA Selangor
memang tidak menampakkan kesungguhan mereka memerangi isu itu lama semenjak
sebelum p/raya lagi.
Yang bersungguh-sungguh hanyalah Ahmad Lufti Othman, Dr.Yusof Wahab,Ezam
Mohd.Noor ,Azmin Ali dan Dr Hassan Ali manakala yang lain hanya `syok
sendiri` dan akibatnya hampir-hampir sahaja Selangor `sifar pembangkang` .
Mujur masih ada dua kerusi DAP kalau tidak pasti Khir Toyo tertawa
bedekah-dekah !
Inderaloka.
|